Sunday 3 February 2013

Sepektakel II


Huuuh... hembusan gas karbon dioksida melewati lorong yang sepatutnya. Dalam senyuman, ku atur langkah seperti biasa menjalankan rutin harianku. Bukan niatku untuk mengeluh, namun aku tahu apakah yang bakal ku lalui hari ini. Rutin harian kerjaku takkan pernah lari daripada lingkungan 360 darjah ini. Hmmm, yelah kuli kepada manusia, kita hanya redha. Seperti biasa, aku insan pertama yang datang di sini, Aku jualah insan terakhir yang akan meninggalkan tempat ini. 

Pekik lolong, tamparan, herdikan, cubitan (manja la sangat), jelingan (mengancam), semua itu makanan harian. Hatta sampai satu ketika, aku merasakan siapakah aku di sini. Aku tahu, aku hanya seorang kuli, menghidang makanan setiap hari, mengemas, mengelap dan membersih restoran sebagai rutin harian. 

Satu hari, aku bersyukur, ALHAMDULILLAH, pelanggan yang ramai mungkin akan menjadikan si 'BOS' sedikit keriangan dan ku harapkan akan berubahlah serba sedikit. Lain yang ku harapkan, lain pula yang terjadi. Daku hanya mampu tersenyum. Daku hanya mampu terus tersenyum.

Ku lihat, ku pandang mereka dengan penuh kasih- sayang.
Ku dengar, ku dengari tutur bicara mereka saban hari.
Ku baca, ku telaah langkah-langkah mereka setiap waktu.

Aku tahu, walaupun dalam kekasaran mereka, walaupun dalam 'kehilangan' mereka, aku bukan yang selayaknya menghukum Aku jua tidak sesempurna dan aku, kau dan kita takkan mengetahui mampukah kita menjadi sebaik kita sekarang selama-lamanya. Apakah khusnul khotimah dalam genggaman kita? Ingat, Allah yang memegang hati setiap hamba-Nya. Allah jua yang membolak-balikkan hati kita. Jadi, siapa kita untuk menilai manusia sedangkan kita tak pasti apa kesudahan riwayat jiwa yang dimiliki.

Ku lihat jua pelanggan sekitarku bagaikan turut bersimpati terhadap diriku. Mereka memandangku dengan perasaan hiba dan belas di jiwa. Sehingga satu saat, ada yang bertanya, 

"dah makan ke?"
Ku balas dengan senyuman & anggukan sahaja.

Mungkin lahiriah, daku tak menyentuh apa-apa makanan sekalipun, namun rohaniah sudah kenyang dengan tarbiyah daripada Allah. Keyakinanku tetap satu, 

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”
 (Maksud Al-Hujurat : 13)


Justeru, apakah kita menilai manusia berdasarkan pandangan duniawi semata-mata. Bagiku, biarlah aku tampak hina di mata manusia, yang penting mulia di sisi Allah SWT, pencipta sekalian manusia. Kerana apa guna kita terus meraih kebanggaan dunia, sehingga sanggup me'lelong' akhirat yang kekal selamanya.

Bersyukurlah dengan mata hati, nur hidayah yang dianugerahkan menjadikan kita melihat dunia sebagai penambah bekalan menuju satu tujuan, JANNAH yang dijanjikan!!

Moga bermanfaat duhai sahabat, ayuh bersama kita renung & amalkan.

_a'yun_