Sunday 9 September 2012

PIDATO Bahasa Melayu Kontekstual

by: A'yun Fariah

TEMA: GLOBALISASI PENDIDIKAN DENGAN PENEKANAN TERHADAP PEMUPUKAN MINDA KELAS PERTAMA


Tajuk: “Minda Kelas Pertama, Bersediakah Kita?”

 Bismillahirrahmanirrahim…

Sekalung apresiasi buat saudari pengerusi, Salam hormat buat tuan Pengarah, Timbalan Pengarah, barisan pensyarah, rakan-rakan serta hadirin yang dihormati. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
Bermula tahun 1951, sistem pendidikan mula diperkenalkan. Hatta, sebelum merdeka, sistem pendidikan sudah bermula walaupun tidak begitu ketara. Sedangkan kini pendidikan menjadi tumpuan utama zaman pascamerdeka. Ia tidak lain dan tidak bukan demi menghasilkan aset-aset negara yang berjaya bukan sekadar jaguh kampung semata, bahkan di peringkat antarabangsa. Justeru, minda kelas pertama, bersediakah kita? Demikian mauduk bicara yang bakal kita rungkai dan hayati bersama.

Hadirin – hadirat yang saya hormati,

 Minda kelas pertama merupakan ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Dan apabila kita berbicara tentang “bersediakah kita”,  kita perlu meneliti pengisian – pengisian yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan pemupukan minda kelas pertama dijalankan seiring dengan nada keperluan.

Tuntasnya, ‘minda kelas pertama, bersediakah kita’ berkehendakkan kita untuk berbicara tentang pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak kerajaan berkenaan langkah yang diambil bagi melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Tiga cerakinan idea akan menjadi asas bicara.  Pertama, pendidikan berkualiti peneraju realisasi misi. Kedua, pembangunan penyelidikan mempertingkat saintifik dan inovasi. dan ketiga nilai murni disemai, akhlak dituai.

Hadirin yang dihormati,

 Pertama, pendidikan berkualiti peneraju realisasi misi. Kajian separuh penggal pada tahun 2006- 2010 di dalam teras kedua Rancangan Malaysia kesembilan menunjukkan kualiti dan akses kepada pendidikan telah ditingkatkan. Institusi pendidikan tertiari bertaraf antarabangsa diwujudkan.  Jurang prestasi pendidikan luar bandar dikurangkan, infrastruktur ditambahkan. Program pendidikan prasekolah dan pembangunan awal kanak-kanak dilaksanakan. Hasilnya, enrolmen di institusi awam dan swasta meningkat baik di peringkat rendah mahupun tinggi. Sebanyak 60% jumlah staf akademik di institusi awam berkelayakan doktor falsafah dilahirkan menjelang 2010. Maka, kita lihat peningatan dan penguasaan ilmu pengetahuan berjaya ditingkatkan. Anak-anak tidak dipinggirkan, cendekiawan mula bertebaran, golongan profesional menghuni di setiap keperluan menunjukkan minda kelas pertama berjaya dihasilkan.

Kedua, pembangunan penyelidikan mempertingkat saintifik dan inovasi. Keperluan dan cabaran global hari ini adalah berpaksikan kepada aset modal insan yang berpengetahuan serta berinovasi tinggi. Dunia kini tidak mengenal siapa yang kaya dengan sumber fizikal, kedudukan strategik dan usia tamadun semata-mata, tetapi memandang kepada kualiti modal insannya yang menjadi peneraju kekayaan dan potensi negara.

Hadirin yang dihormati,

Profesor Michael Gibbons, Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel menyatakan bahawa globalisasi pendidikan ialah proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran berkualiti yang menggalakkan penyelidikan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bidang metodologi, psikologi, pengujian dan penilaian. Maka, menjadi satu keperluan untuk para guru mengubah cara pengajaran lama kepada cara baru yang lebih efektik dan efisien. RMK-9 turut menyasarkan penghasilan 50 ahli sains dan jurutera penyelidik bagi setiap 10, 000 tenaga buruh menjelang 2010. Hasilnya, nisbah ahli sains dan jurutera penyelidik yang dihasilkan adalah 17.6 pada tahun 2006.

Maka kita lihat, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, ibarat isi dan kuku kerana ia menjadi pemangkin kepada inovasi yang melahirkan insan yang proaktif seterusnya menyumbang untuk kepentingan bersama selaras dengan ciri minda kelas pertama.

Hadirin yang dihormati,

Ketiga, nilai murni disemai, akhlak dituai. Herodotus, ahli falsafah Greek kuno menyatakan bahawa pengamalan nilai moral yang dilengkapi dengan pembudayaan ilmu pengetahuan serta ruang lingkup kehidupan yang dihiasi dengan warna-warna perikemanusiaan merupakan satu bentuk pakej yang tidak boleh dipisahkan kerana apalah gunanya kekayaan material semata-mata, tetapi sayang, masyarakatnya kontang dari pengisian jiwa dan pembangunan minda. Kekayaan moral meliputi aspek akhlak mulia, nilai murni, budi bahasa, integriti, beretika dan mengikut norma-norma sebagai masyarakat timur. Maka, inisiatif kerajaan melaksanakan program khidmat negara misalnya telah memberi manfaat kepada 195, 000 belia negara dan kepada 1,016,749 belia melalui program Biro Tatanegara. Semangat patriotik, nilai kekitaan dan pengamalan norma-norma ketimuran dibudayakan.

Hadirin sekalian,

Konklusinya, negara sudah bergerak dan berjaya dalam pemupukan minda kelas pertama.  Kini tiba masa untuk kita meletakkan satu matlamat. Minda kelas pertama harus dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat. Pembangunan negara memerlukan sokongan yang tidak tersekat agar kemajuannya dapat dipertingkat seterusnya memberikan kebaikan kepada rakyat. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment